Quantcast
Channel: OHBULAN!
Viewing all articles
Browse latest Browse all 36399
↧

Buat Apa Membazir Kalau Boleh Berjimat? Ini Tips Raya Sederhana Pasca PKP

$
0
0

Gambar hiasan.

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang, sudah pasti telah buka sedikit ruang keterujaan dalam hati umat Islam di Malaysia. Namun, dalam masa yang sama rakyat juga sedang bergelut dengan wabak Covid-19. Lantaran itu, ramai yang terkesan terutama dari segi ekonomi kehidupan masing-masing.

Jangan risau dan pening kepala! Suasana raya masih lagi boleh dihidupkan walaupun dalam keadaan berjimat. Justeru itu, mari ikuti tips raya berjimat dan sederhana pasca PKP di bawah ini.

Baca juga: Resepi Biskut Datin Viral, Biskut ‘Kayangan’ Anda Boleh Cuba Buat!

Gambar hiasan.

5 TIPS JIMAT & BERSEDERHANA SAMBUT RAYA PASCA PKP!

1. KUIH RAYA, RENDANG & KETUPAT NAK BELI KE BUAT SENDIRI?

Gambar hiasan.

Kuih raya jangan tiada langsung pula dekat rumah kalau ya pun nak bersederhana. Sekurang-kurangnya adalah dua tiga jenis. Tak adalah nanti kelam-kabut bila jiran sebelah datang serang rumah. Naya Pak Karim! Hahaha

Nak sediakan kuih raya, lebih baik buat sendiri boleh dapat banyak berbalang-balang. Ha makanlah sampai setahun. Dah berjimat dekat situ. Betul tak?

Kalau nak ada kuih dalam kuantiti yang sedikit lebih elok pergi beli saja. Kuih ‘tunjuk’ kan berlambak dijual pada malam raya. Pastikan jangan beli banyak-banyak jenis pula.

Faham sangattt! Dah nampak banyak tu mulalah hati berbolak-balik tergoda nak beli.

Gambar hiasan.

Manakala, rendang, ketupat dan lemang masak untuk dua keluarga makan pun dah cukup. Boleh simpan sampai 3 hari makan, sekiranya ada tetamu datang ziarah sempat tu nak bagi rasa air tangan memikat anda.

Walaupun, tak semeriah seperti raya sebelum ini, namun suasana perayaan mesti dikekalkan. Tapi beringat jangan sakan sangat makan tu, ada yang keluar masuk bilik air nanti. Lain pula kisah jadinya.

2. BAJU RAYA TAHUN LEPAS BANYAK TAK PAKAI, JANGAN DIBUAT SEBAGAI PAMERAN SENI!

Gambar hiasan.

Dah nak masuk tahun ketiga kita beraya bersama wabak Covid-19 ni. Sudah pasti, masih ada lagi baju raya yang belum dirasmikan lagi. Jika dah pakai pun, mesti sekejap saja pada hari pertama. Betul tak?

Inilah masanya untuk kita melaram dengan baju-baju raya tersebut. Tak usah beli baru! Baju raya yang lama tu pun, masih nampak elok lagi. Bukan orang tahu pun, kalau baju raya 4 tahun lepas yang hanya pakai sekali tu. Dah boleh bersederhana di situ.

Kalau nak beli juga, sepasang dua persalinan pun okay. Saya cadangkan, jangan beli baju yang sarat dengan labuci atau yang terlalu menarik perhatian. Ianya supaya boleh pakai berulang-kali dan ke mana-mana sahaja. Boleh pakai pergi office ke pergi keluar makan ke.

Gambar hiasan.

Buat yang berkeluarga pula, anda boleh bajetkan modal baju raya siap-siap. Contohnya, anak-anak sorang RM80 dan mak ayah sorang RM100.

Kalau keluarga 5 beranak, jumlah keseluruhan tak sampai RM500. Dah banyak kurang di situ jika dibandingkan dengan raya dulu. Paling penting tidak melebihi daripada bajet yang telah anda buat.

3. MENGHIAS RUMAH DENGAN APA YANG ADA, BANYAK TRICKS DIY BOLEH IKUT~

Gambar hiasan.

Memang seronok tau sambil mengemas rumah pasang lagu raya bernyanyi sama walaupunnn suara ke laut. Hahaha! Alahaiii mood sangat~

Sudah jadi seperti aktiviti tahunan wajib masyarakat untuk mengemas rumah tiap kali sambut perayaan. Keadaan rumah yang sedia ada bersih sampai jadi bersih bersinarlah macam rumah baru.

Dalam rajin mengemas tu, mesti akan menukar barang yang lama kepada yang baru. Contohnya, langsir baru, sofa baru, permaidani baru. Ehh semua bendalah nak ditukar baru!

Tapi kan, dalam keadaan sekarang ni semestinya ekonomi masing-masing sudah tidak serancak dulu. Jadi, molek lah kiranya kita bersederhana sahaja.

Gambar hiasan.

Saya cadangkan, guna semula apa yang ada. Tak semua barang yang lama seperi kain langsir sudah menjadi buruk. Langsir bukannya ditukar hari-hari macam pakai baju. Jadi, pakailah balik bagi basuh dulu biar wangi berbau harum.

Permaidani pula, alah senang saja. Sekarang ni banyak tips bersihkan permaidani dengan cara cepat jimat dan hasil pun mantap. Nak tahu tips, boleh lihat di sini.

Lampu raya atau pelita, saya percaya anda masih simpan lagi. Dah kalau bendanya pun pasang setahun sekali, bila bulan Syawal menjelma saja. Jadi, boleh pakai balik!

4. BERI DUIT RAYA DENGAN NILAI IKUT KEMAMPUAN, INI BUKAN PERTANDINGAN!

Gambar hiasan.

Amalan memberi duit raya sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita. Secara tak langsung, mengajak kita untuk bersedekah. Dalam bersedekah kita dapat membantu juga anak-anak orang tidak berkemampuan, selain dapat membersihkan hati kita.

Anda jangan khuatir, kalau nilai duit raya yang diberikan tidak setinggi dulu. Pemberian duit raya bukan sebuah pertandingan untuk melihat siapa paling kaya atau tidak. Cukuplah sekadar bersederhana mengikut kemampuan anda.

Ianya lebih kepada memupuk diri untuk bersedekah dengan ikhlas dan si penerima, terutamanya kanak-kanak akan belajar dari tindakan contoh yang baik.

Gambar hiasan.

Sediakan RM1 untuk anak kecil pun mereka dah suka tau. Kalau yang besar sedikit macam budak sekolah rendah RM1.50 pun dah cantikkk!

Kalau nak lagi menarik, sediakan paket gula-gula dan coklat. Banyak yang dijual borong dengan harga murah di pasaraya. Anak-anak nampak paket warna-warni yang cantik pasti tersenyum riang sampai ke telinga.

Nak lagi lagi kreatif dan inovatif, tak perlu beli sampul duit raya. Anda masukkan duit dalam paket gula-gula tadi. Nak nampak banyak gantikan duit kertas dengan duit syiling. Bernas kan idea ni?

5. ZIARAH RAYA MELALUI TEKNOLOGI

Gambar hiasan.

Sudah sedia maklum, Prosedur Operasi Standard (SOP) negara kita sudah tidak seketat seperti awal dahulu. Amalan kunjung-mengunjung pastinya bakal dihidupkan semula.

Dalam memenuhi kegembiraan itu, pastinya anda perlu berhati-hati kerana Covid-19 masih lagi berleluasa tiada lagi penawarnya. Justeru itu, lebih baik berwaspada dalam meraikannya dengan cara bersederhana dan selamat.

Sekarang kan zaman dah maju. Semuanya ada di hujung jari sahaja. Apa kata anda modenkan aktiviti ziarah itu melalui panggilan video. Tak perlu dah nak fikir duit minyak, servis kereta dan duit tol.

Banyak dah wujud aplikasi panggilan video seperti Whatssapp, Skype, Google Meet dan pelbagai lagi. Jadi, manfaatkan teknologi yang ada dengan sebaik mungkin.

Gambar hiasan.

Walaupun tidak boleh bersentuhan tetapi senyuman masih boleh dilihat, gelak tawa masih lagi boleh didengari.

Ziarah hari raya secara fizikal akan jadi lebih bermakna. Ya, itu benar~ Tetapi bermakna itu akan ‘hilang’ jika kita terlalu gembira dan tidak berhati-hati. Risau musibah lain pula yang akan menimpa.

WALAUPUN BESEDERHANA RAYA MASIH DIRAIKAN, KESIHATAN MASIH TERJAGA…

Ingat ya bersederhana saja tahun ini, kesihatan diri amat penting. Virus mudah merebak, jangan sampai anda pula terjebak! Ada hikmah di setiap ujian yang diberikan oleh-Nya.

Jadi, jangan terlalu bersedih yang penting anda masih dapat meraikannya walaupun dengan cara sederhana. Cumanya kini, kita perlu biasakan dengan apa yang tidak biasa. Bersyukur lah daripada tak dapat langsung.

Semoga perkongsian ini memberi input berguna kepada anda semua. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri! Gembira-gembira juga, diri sendiri jangan lupa berwaspada.

↧

Viewing all articles
Browse latest Browse all 36399

Latest Images

Trending Articles