Semalam telah berlangsungnya sidang media Anugerah Skrin 2012 bertempat di Hotel Royale Bintang Damansara, Selangor. Majlis telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelakon-pelakon terkenal seperti Lisdawati, Nora Danish, Anzalna Nasir, Zahiril Azim, Awal Ashaari, Johan As’ari serta Nabila Huda.
Dalam kemeriahan majlis tersebut, pihak OHBULAN! telah terpandang kemesraan yang berlaku antara dua orang bekas finalis Dewai Remaja 2010/11 iaitu Anzalan Nasir dan Neelofa. Mereka kelihatan sungguh mesra dan tidak kekok apabila diminta oleh pihak media untuk merakamkan foto bersama.
Semua sedia maklum sebelum ini mereka pernah dihambat kontroversi mengenai perselisihan faham sehingga melibatkan isu saman menyaman. Akan tetapi isu tersebut telah berakhir apabila Anzalna bersetuju untuk meminta maaf kepada Neelofa secara terbuka pada 2 Julai lalu.
Melihat kemesraan tersebut, pihak media telah menghampiri Anzalna sendiri bagi mendapatkan kepastian, adakah benar dia dan Neelofa sudah berbaik seperti sediakala atau adakah itu semua hanya sekadar lakonan?
Lantas Anzalna menjawab, “Alhamdulillah semuanya dah selesai. Ini baru pertama kali Anzalna jumpa Neelofa selepas kes hari tu. Sekarang ni, Anzalna nak buka buku baru dan fokus pada karier. Anzalana dah anggap macam baru jumpa kawan baru dan tak kisah untuk bergambar bersama. Anzalan pun ikhlas untuk bergambar tadi.”
“Anzalana dah janji tak nak buat kontroversi lagi dan belajar dari kesilapan serta jadikan semua yang berlaku sebagai satu pengajaran. Sekarang Anzalna nak tunjukkan bakat dalam bidang ini. Tambahan pula sekarang ni satu persatu drama Anzalna orang boleh terima. Jadi, itulah yang Anzalna mahukan.”
“Anzalna tak nak orang kenal diri Anzalna disebabkan oleh kontroversi yang pernah berlaku sebelum ini. Kalau boleh, nak peminat kenal dan kagum dengan drama lakonan Anzalana,” ujar Anzalna sambil tersenyum manis.
Mengulas lebih lanjut mengenai hubungan cintanya dengan kekasih hati, aktres manis ini tersenyum dan menyatakan masih belum ada perancangan untuk mereka ke peringkat yang lebih serius. Akan tetapi tidak menafikan yang pihak keluarga ada perancangan untuk menyatukan mereka.
“Keluarga memang ada rancang. Anzalna bukannya tak nak ke peringkat yang lebih serius, tapi Anzalna baru je mula kerja. Lagipun, umur kami sama dan dia pun baru mula kerja, jadi biarlah kami cari duit dulu. Lagipun Anzalna tak harapkan lelaki untuk ‘support’ diri Anzalna.”
“Mak dia memang ada rancang untuk masa depan kami, tapi bagi Anzalna kalau jodoh tu sampai awal, Anzalna terima je dan tak kisah pun. Lagipun baru rancang, belum ada persiapan apa-apa. Anzalana pun tak nak tergesa-gesa sebab takut jadi benda-benda tak elok pula lepas kahwin nanti,” ujar Anzalna kepada pihak media.
Merujuk kepada perkembangan terbaru, sebagai seorang pelakon Anzalna difahamkan bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul ‘Sepah The Movie’ pada 29 Disember ini. Dia juga berharap agar drama lakonannya akan terpilih untuk Anugerah Skrin 2012 nanti.
Related posts: