Pelakon berbakat, Amerul Affendi mendedahkan bahawa sepanjang bulan Ramadan, dia memilih untuk menolak tawaran berlakon bagi memberi tumpuan kepada kebun yang diusahakannya di kampung.
Aktif berkebun, ternak
Ketika ditemui OhBulan!, Amerul atau nama lengkapnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, berkata dia sudah berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak tahun 2015.
Setiap kali bulan Ramadan, saya memang tidak menerima tawaran berlakon kerana menghabiskan masa di kebun. Saya mengusahakan beberapa tanaman termasuk sawit, manakala dalam penternakan, saya membela kerbau.
Hasil tanaman dan ternakan ini ada yang saya jual, ada juga untuk kegunaan sendiri.
Pelakon filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 itu menganggap bahawa kerja-kerja yang dilakukan di kampung itu sebagai pekerjaan utamanya di luar bidang seni.
Kerja hakiki saya adalah kerja di kampung.
Amerul berkata demikian ketika ditemui di sesi penggambaran drama BRU yang bakal ditayangkan di TV3 sempena Syawal akan datang.
Cita-cita jadi pensyarah
Dalam perkembangan lain, Amerl memberitahu bahawa dia kini dalam proses menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) melalui program Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APELQ).
Saya sebenarnya baru nak sambung belajar ke peringkat ijazah sarjana melalui APEL Q, di mana mereka menilai saya dari sudut lakonan saya. Salah satu syarat untuk melayakkan saya adalah perlu berkecimpung dalam dunia lakonan sekurang-kurangnya 20 tahun.
Saya sudah 21 tahun dalam bidang ini, jadi sekarang saya hanya menunggu kelulusan daripada pihak mereka.
Tambahnya, proses pembelajaran ini tidak memerlukan kehadiran ke kelas, sebaliknya hanya perlu menyiapkan tugasan sebagai bukti penglibatannya dalam bidang lakonan selama dua dekad.
Amerul turut berkongsi bahawa menjadi tenaga pengajar dalam bidang seni adalah impiannya sejak di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Sejak temuduga di ASWARA dahulu, saya pernah ditanya apa yang akan saya lakukan selepas tamat belajar. Saya jawab, saya mahu menjadi tenaga pengajar. Saya mahu gunakan ilmu teater untuk mendidik orang.
Walau bagaimanapun, Amerul menegaskan bahawa sekiranya bergelar pensyarah kelak, dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan dan tetap aktif dalam industri seni.
Sekiranya saya menjadi pensyarah kelak, saya tak akan tinggalkan dunia lakonan dan saya akan sentiasa ada dalam industri ini, walaupun dah tua nanti.
APEL Q adalah satu kaedah penilaian yang membolehkan individu mendapatkan kelayakan akademik berdasarkan pengalaman kerja dan pembelajaran tidak formal. Calon tidak perlu menghadiri kelas secara formal, tetapi perlu menyediakan bukti pengalaman dan tugasan untuk menunjukkan kemahiran serta pengetahuan dalam bidang berkenaan.
The post Amerul Affendi Tolak Tawaran Berlakon Pada Bulan Ramadan, Fokus Usaha Kebun – ‘Dah 10 Tahun Buat Kerja Kampung, Itu Kerja Hakiki Saya’ first appeared on OHBULAN!.