Rentetan daripada artikel Wilma Kembali Selepas 13 Tahun Tinggalkan Lakonan, Wilma turut berkongsi kisah suka duka hidupnya selepas kematian suami pada Januari 2011.
“Arwah suami saya, Mahir Effendi Bin Mahmud meninggal dunia diusia 37 tahun kerana serangan jantung mengejut. Pemergiannya memang tidak disangka, apatah lagi saya sentiasa berada disisinya. Ketika itu, saya menangis setiap hari kerana tidak dapat menerima pemergiannya. Pada hari ke-40, saya bermimpi dikunjungi arwah suami dan dia berpesan kepada saya untuk teruskan kehidupan. Dia juga berkata bahawa ingatan terhadapnya akan sentiasa berada di dalam hati saya.
“Selepas 2 kali saya menerima mimpi yang sama, akhirnya barulah saya dapat mengurangkan rasa sedih. Alhamdullilah, 5 cahaya mata hasil perkahwinan saya & arwah suami merupakan aset yang tidak ternilai harganya,” kongsi Wilma dalam nada sebak ketika ditemubual OHBULAN!.
Wilma berkata bahawa setiap pertemuan pasti ada hikmahnya. Katanya, “Sebelum arwah meninggal, saya ada jalankan bisnes jualan kek daripada rumah. Kemudian, apabila arwah meninggal dunia, saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat Dalmar Hasil. Dari situlah saya mengenali produser yang menerbitkan filem 1945. Mereka menyunting saya untuk muncul kembali di layar perak. Saya bersyukur sebab tawarannya sangat baik, skripnya bagus dan dapat memegang watak utama.”