Gimik yang OHBULAN! rasa amat menjadi dengan penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi 2011. Bagi meraikan acara 25 Tahun Puncak Kegemilangan ABPBH 2011 ini, pihak penganjur telah mewujudkan satu anugerah khas yang dipanggil Anugerah Seri Perak dimana peminat akan menyaksikan bintang paling popular sejak tahun 1990 sehingga 2010 berentap memancing undi bagi meraih gelaran “Mega Popular’.
Pengumuman ini dibuat oleh En. Zainuri Misfar, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian di Holiday Villa Hotel & Suite Subang Jaya, lewat petang semalam.
“Pihak penganjur yakin bintang senior juga mempunyai kelompok peminat ramai. Kekuatan mereka adalah daripada segi produk evergreen atau baru yang menjadi pilihan peminat sejak sekian lama. Pendek kata, kesemua 12 pemenang Bintang Paling Popular terdahulu bertanding semula bagi merebut gelaran mega popular diantara Bintang Paling Popular. Peminat diberi pilihan untuk mengundi siapakah yang dirasakan sesuai untuk diberikan trofi Anugerah Seri Perak.”
Penganjur turut melebarkan cabang pertandingan dengan mengadakan kategori sampingan secara online di laman web ABPBH bermula pada Januari 2012 di mana 5 kategori baru dipertandingkan, Anugerah Muat Turun Mobile, Artis Paling Popular Wanita Online, Artis Paling Popular Lelaki Online, Pakaian Selebriti Terbaik ABPBH Sepanjang 25 Tahun dan Artis/Selebriti Asia Popular Online.
Pencalonan awal akan dikeluarkan di Berita Harian dan Berita Minggu bermula 25 November 2011 hingga 29 Disember 2011 untuk pembaca memilih calon 5 teratas.