“Memang ada bezanya, persamaannya david Beckham kan pasangannya victoria, aku pula kekasihnya Gaston. Kami sama-sama tergolong dalam kategori pasangan selebriti dan pemain bola sepak. Tapi bezanya pasangan Beckham sudah bernikah, kami pula belum lagi. Doakan saja jodoh kami,” ujar penyanyi dangdut, pelakon a.k.a simbol seks Indonesia, Julia Perez atau JuPe ketika mengulas tentang persamaan dan perbezaan hubungan asmaranya (cinta) bersama pemain bola sepak Indonesia kelahiran Argentina, Gaston Castano dengan pasangan Beckham.
Menurut bintang filem ‘Kuntilanak Kesurupan’ ini lagi, David Beckham di matanya adalah seorang yang bakal menjadi pemain bola sepak lagenda kerana memiliki skil bermain bola yang baik. Ketika ditanya adakah dia akan datang menyaksikan perlawanan persahabatan di antara David Beckham dan pasukannya LA Galaxy menentang pasukan Indonesia Rabu ini (30/11), JuPe seakan sudah siap siaga menghangatkan medan perlawanan nanti.
“Insyaallah, saya akan datang menyaksikan perlawanan nanti. Kalau saya bertemu David, saya akan tanya bagaimana pendapatnya menegenai prestasi pemain timnas dan bila lagi dia akan mengunjungi Indonesia. Kalau boleh biar dia bercuti lebih lama di sini,” tutur JuPe lagi.
JuPe dan bintang kelab PSMS Medan ini mulai intim sejak awal 2009 lagi ketika JuPe masih sah bergelar isteri kepada jejaka berketurunan Perancis, Damien Perez (Yusuf Perez). Foto intim dan berahi percutian mereka di Bali sekitar Mac 2009 yang kantoi di internet sehingga sampai ke pengetahuan Damien akhirnya menjadi punca rumah tangga JuPe dan Damien musnah.