Seperti yang anda maklum, kegilaan orang ramai terhadap watak Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah telah menjadi suatu fenomena, terutamanya selepas ABPBH 2010 yang lepas. Namun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menubuhkan sebuah fanpage untuk mengambil kesempatan terhadap populariti Usop Wilcha.
Dalam temubual terbaru Usop Wilcha bersama Mstar, pelakon Syed Asri (Add FB Rasmi Usop Wilcha) berasa kesal dengan sikap individu yang telah menggunakan nama watak HKLBR untuk mengambil kesempatan memperdayakan orang ramai. Dengan jumlah fans yang mencecah 34000, pemilik fanpage berkenaan telah menjual cenderamata berupa pakaian tanpa meminta sebarang kebenaran daripada Syed Asri.
Syed Asri, agak berang kerana ramai peminat yang merungut ekoran mereka menyangkakan urus niaga tersebut dikendalikan oleh dirinya, sedangkan tidak. Menurut Syed Asri lagi, dia sebenarnya tidak marah apabila orang menggunakan popularitinya untuk mencari rezeki. Tetapi, dia agak kesal apabila urus niaga tersebut telah melibatkan namanya dimana dia sendiri tidak tahu menahu mengenai proses tersebut.
Pihak OHBULAN! sendiri sebenarnya mengikuti fanpage tersebut & apa yang dikatakan oleh Syed Asri memang benar. Pada asalnya, Syed Asri memang memberikan kebenaran kepada pemilik fanpage tersebut, iaitu Dayniel Izham untuk mengendalikan kelab peminat, namun dia tidak menyangka individu tersebut telah menggunakan ia sebagai tempat untuk memperdayakan orang lain.
Hasil tinjauan kami mendapati, insiden ini menyebabkan ramai fans yang berpihak kepada pemilik fanpage berkenaan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Kemungkinan besar terpengaruh dengan sikap pemilik yang cuba mengapi-apikan keadaan.
Sepanjang pengalaman kami 6 tahun dalam dunia media, kami setuju apa yang dilakukan oleh individu berkenaan memang tidak patut. Bukan itu sahaja, kami mendapati individu berkenaan juga menguruskan sebuah website yang meniru konsep Ohmedia. Kekeringan idea, atau ingin mencari populariti? Anda tentukan.