Berikutan isu pencerobohan di Lahad Datu, pengacara serta penyampai radio terkenal, Faizal Ismail telah menggesa rakyat Malaysia agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan spekulasi yang tidak benar dimedia sosial terutamanya Twitter atau Facebook.
“Saya tak nak komen banyak disini sebab isu ini dah masuk ke topik yang serius sehingga melibatkan parti politik dan sebagainya. Apa yang boleh saya katakan di sini adalah, berhenti atau jangan terlampau membuat spekulasi yang bukan-bukan sehingga boleh mengguris hati mana-mana pihak.
“Kalau boleh, gunakan media sosial dengan betul. Macam saya sendiri, saya tak ada tweet apa-apa pun kat Twitter, apa yang saya lakukan cuma menggesa agar kita sama-sama berdoa biar semuanya selamat,” ujar Faizal Ismail sewaktu bertemu di sidang media TV3, program ‘Bintang Mencari Bintang’ di Hotel Empire Subang, petang semalam.
Merujuk kerjaya terbaru Faizal Ismail, penyampai radio ini bakal muncul dalam sebuah program terbaru TV3 yang dikenali sebagai ‘Bintang Mencari Bintang (BMB)’ dan menerusi program ini Faizal telah dipilih sebagai salah seorang sifu yang bakal mendidik peserta program tersebut agar menjadi seorang individu yang verstail, iaitu individu yang pandai membuat lawak dan dalam masa yang sama turut mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
Meskipun Faizal tidak tergolong dalam kelompok mereka yang bergelar pelawak, akan tetapi pengacra ini yakin yang dirinya mampu melahirkan seorang anak didik yang pandai berlawak suatu ketika nanti.
“Saya yakin boleh mendidik mereka sebab dalam diri saya ini ada unsur-unsur komedi yang tersendiri. Walaupun saya tidak melabelkan diri saya sebagai seorang pelawak, akan tetapi orang disekeliling saya ramai yang cakap saya ini lawak. Disebabkan itu, saya yakin saya boleh didik anak-anak buah saya supaya menjadi seorang pelawak dan penyanyi yang bagus.
“Dalam program ini saya tak boleh rasa rendah diri. Walaupun sifu-sifu lain seperti Sabri Yunus, Raja Azura, Afdlin Shauki, Kumpulan Senario serta Harun Salim Bachik merupakan pelawak-pelawak otai, saya akan tetap hormat mereka dan menganggap ini sebagai satu cabaran yang harus saya tempuh.”
Oleh itu, jangan ketinggalan untuk menonton program “Bintang Mencari Bintang” pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Program ini bakal menampilkan pelakon hebat, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan A.R Badul sebagai juri tetap program BMB, manakala pengacaranya pula adalah Adibah Noor.