Setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam industri seni, penyanyi, Stacy Anam akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk menganjurkan konsert solo pertama di negeri kelahiran, Sabah pada 21 Jun lalu.
Artikel Berkaitan: Konsert ‘Aku Stacy Menggegar Kota U’ Berlangsung Jun Ini, Hadiah Istimewa Buat Warga Sabah
Pukau hampir 3,000 penonton

Berlangsung di dewan Sabah International Convention Centre (SICC), konsert yang diberi nama ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ itu berjaya memukau hampir 3,000 penonton yang hadir.
Menurut Stacy, dia sangat berpuas hati dengan penganjuran konsert tersebut dan menganggap penantiannya selama ini membuahkan hasil.
Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert.
Lebih manis, Stacy turut berduet bersama suaminya, Akim Ahmad menerusi segmen ‘Bersemut’ dengan lagu-lagu seperti ‘Die With A Smile’, ‘Aku, Kau & Muzik’ dan ‘Ritma & Rima’ didendangkan kepada penonton.
Tukar 10 busana, ‘terbang’ atas pentas

Pada malam konsert itu juga, Stacy berjaya memukau penonton yang hadir apabila bukan sahaja tampil dengan 10 busana berbeza malah turut membuat persembahan bertenaga sambil ‘terbang’ di udara.
Ketika konsert berlangsung, Stacy telah mendendangkan 27 lagu disertai tarian yang penuh bertenaga.
Antara lagu yang didendangkan bekas juara program Akademi Fantasia itu termasuklah ‘Aku Stacy’, ‘Bosan’, ‘Pelangi Senja, dan banyak lagi.
Konsert ‘Aku Stacy’ itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan termasuk Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia, yang masing-masing tampil memberikan persembahan dinamik dan berkarisma.
Sekadar info, Konsert ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ adalah manifestasi cinta Stacy terhadap Sabah, terhadap muzik dan terhadap semua yang telah menyokongnya sejak 2008.
Konsert ini juga membuktikan satu perkara iaitu anak kelahiran Sabah ini bukan sekadar bintang tetapi merupakan warisan kepada seni negara.
The post Stacy Tukar 10 Busana & ‘Terbang’ Atas Pentas, Pukau 3,000 Penonton Di ‘Konsert Aku Stacy’ first appeared on OHBULAN!.